DALAM HATI ADA TAMAN....

0 Comments »
taman lavender yang berwarna ungu...

semua manusia ada taman...
taman dalam hati...
taman yang penuh dengan bunga-bungaan...
beraneka warna dan harum...
bunga-bunga itu tumbuh subur...
kerana....
benihnya baik...
penjagaannya baik...
makanannya pun baik....
cukup 3 syarat tu, maka taman kita akan subur...

kalau taman itu ibarat iman...
benih yang baik itu ialah kepercayaan kepada Allah...
penjagaan yang baik itu adalah syariat...
dan makanan yang baik itu adalah akhlak...

peliharalah ia sebaik-baiknya...
insyaallah taman kita akan terpelihara...iman kita akan terjaga...
namun awas!
pastikan tiada makhluk lain datang mengganggu..
takut-takut yang menguasai taman kita ialah serangga perosak bernama nafsu....

sekadar motivasi....

jangan jaga taman dalam hati kita jer...jagalah taman orang lain sekali...dengan cara ajarkan mereka tentang Islam...nescaya, mereka juga akan memperbaiki taman mereka menjadi taman yang cantik umpama taman di kayangan....
BERSAMA TINGGIKAN SYIAR ISLAM...DENGAN KRL SEBAGAI WADAH...!

LIRIK HATI...

0 Comments »

langit kirmizi menghantar dirimu menuju jalan pulang
hari-hari indah bersamamu bertabur di tanah kenangan
wajah berona duka engkau tatapi buat kali terakhir
sedih dan sayu dari kamar atma mengundang air mata

Hanya rindu dan doa buatmu
semoga kau tenang dan bahagia
agar syurga menjadi milikmu
Setiap langkahmu membawamu ke sana

menumpang di segenap ruang yg ada di lubuk perkasihan
begitu indah setiap detik bersama dirimu
sehingga teramat asyik setiap saat di sisimu
keperitan itu ku rasa indah disampingmu

setitis air matamu yang gugur kerana kesedihan
segaris luka di hatiku kerna perpisahan
tertutup pintu bahagia jika tiada senyumannya
kepedihan ini ku tanam di lubuk hatiku yg dalam

di tirai malam aku bersandarkan pada dinding kepiluan
bersenandungkan merdu suara alam terlena di rajutan rindu
tiada yg terindah di dunia dapat mengganti hilangmu
pilihan yg terbaik takkan dapat mengisi relung hatiku

hujan...

dan hujan...

hujan lagi...

terus hujan....

semakin lebat....

membentuk sebuah melodi...

sebuah lagu...

dengan lirik dari sebuah hati...

yang sedih....
(kata-kata di atas di ubahsuai dari lirik lagu azimat ibunda-Far east)

3 Comments »

bermonolog sendirian bermuhasabah diri mengenali jiwa...
kerana sesiapa yang kenal dirinya, dia akan kenal tuhannya...

MONOLOG JIWA MENGUSIR HIBA

Dalam garis malam yang suram, jiwaku membungkam, hatiku menderam memikirkan dosa dan noda hitam yang bersarang di hati dalam diam. Hatiku resah, perasaanku gelisah, meminggirkan rupa pasrah kepada Allah yang sepatutnya berada dalam diri sesiapa jua yang memiliki iman yang indah.

Mungkinkah kerana hatiku bersalut kemungkaran? Mungkin juga kerana pancainderaku yang selalu melupakan rasa kemanisan suatu ibadah kerana terpengaruh dengan godaan dunia di depan mata? Lantaran itu, iman pun menjauh, ketenangan pun sirna. Yang tinggal hanyalah kesedihan dan kehibaan yang merobek hati mengalirkan selautan kekosongan. Lantaran hati melupakan dahan Ilahi tempat berpaut setiap insani yang menyedari erti sebuah kehidupan hakiki. Kehidupan syurgawi tempat yang selayaknya bagi abid, alim, mujahid yang cintakan Ilahi. Apakah aku mampu melontarkan diriku masuk ke dalam golongan tersebut? Ahh…cukup sukar!

Kenapa terlalu sukar? Apakah kerana Allah terlalu kejam dengan menimpakan kesukaran yang membuatku tersungkur? Tidak, mustahil sama sekali, kerana nukilan bijak pandai yang lahir dari kalam Tuhan Yang Maha Mengetahui memberitahu kita bahawa cubaan dan dugaan tuhan sesuai dengan kemampuan hambanya. Sebagai wadah buat tuhan menunjukkan sifat ArRahman dan ArRahimNya. Jadi, kenapa terlalu sukar untukku mengusir keceramukan di hati ini?

Jasadku diam dan fikiranku berputar laju melihat paparan ilusi masa hadapan, tetapi kenapa paparan tersebut kelam, suram dan hitam? Aku cuba memahami dan merungkai maksud kegelapan tersebut, namun yang aku temui cuma keterbatasan keupayaan seorang manusia. Hatiku bermuhasabah sendirian, jiwaku keliru, fikiranku bercelaru.

Dalam diam aku berbisik sendirian. Hatiku memberitahu, jiwaku merayu. Biar sendu dan pilu datang bersilih ganti. Namun pasti akan kuberi ruang dan peluang untuk redha dan pasrah menjengah kamar kalbuku. Agar terubat kehibaan dengan senyuman keredhaan. Apalah ertinya hidup dengan tangisan, jika dengan tangisan itu, cuma melebarkan jalanku ke gerbang neraka? Biarlah tangisan itu adalah tangisan yang menitiskan puin-puin kenikmatan dari syurga. Agar segala kesakitan dan kekusutan itu hilang dan berlalu begitu sahaja diganti oleh kemanisan yang begitu terasa. Walaupun jalan itu susah, namun itulah mujahadah. Biar sukar, tetapi bila kejayaan itu terlakar, hatiku akan mekar seumpama bunga yang berkembang besar. Biar terbakar, namun matahari yang membahang tak pernah goyah dari paksinya. Malah sinarnya menerangi seluruh alam, menyuluh cahaya bagi jiwa-jiwa yang berdosa. Biar terbakar, namun ia takkan sekali-kali membakar semuanya. Dalam terang, ia lebih terang. Yang akan terbakar cuma hiba. Justeru, aku perlu mencuba!

Bila hati itu kenal Ilahi, ketenangan pun datang merestui, hidup pun menjadi lebih bererti. Rasa pergantungan kepada tuhan menjadi azimat buat memilih jalan menemui tuhan. Bila tuhan dikenali, tiada lagi yang diingini, melainkan sebutir benih yang akan menumbuhkan pohon yang menjulang ke langit tinggi. Akan ku panjat dan teruskan meniti, agar bertemu Zat Rabbul Izzati di atas Kursi. Pada ketika itu, bukan hanya sebelah mata enggan kupandang kehibaan itu, malah aku sanggup butakan mata jasad dan mata hatiku daripada melihatnya. Biarlah pandanganku terarah dan mengarah kepada Allah. Tuan yang menciptakan Akhirat dan Dunia. Tuan yang menciptakan Syaitan dan Manusia. Tuan yang menciptakan Perasaan dan Jiwa. Tuan yang menciptakan Gembira dan HIBA. Tundukku tafakur kehinaan dan berserah. Mendambakan sebuah hati yang tiada resah gelisah. Ku mohon kepada mu Ya Allah. Engkaulah Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tuhan yang selayaknya mengusir hiba dari jiwa…     

Duhai hati dan jiwa
Usah kau tangisi hiba yang membuat kau kecewa
Usah kau rindu resah yang membuat kau berduka
Tapi kenanglah sewaktu kau dan iman berkongsi satu rasa
Saat kau dan iman sedang bergelak ketawa
Saat kau dan iman bahagia
Tidakkah dahanmu kembali berbunga?

Subhanallah….Alhamdulillah…Allahuakbar…ASTAGHFIRULLAH….


AKU SAKIT......KER?

0 Comments »

Entahlah, nak kata sakit, tak demam pun. Cuma kadang-kadang jer sakit kepala. (bagi mereka-mereka yang dalam kategori migraine memang memahami betapa sakitnya waktu tu)..Tapi takdelah sakit jantung ke, darah tinggi ke. Aku pi check kat doktot, depa kata ok. Sama ada doctor tu memang malas ataupun aku memang tak sakit, aku memang tak dapat nak bagi jawapan. Tapi simptom-simptom yang agak merbahaya seolah-olah aku memang sakit teruk memang ada. Sebagai contohnya aku selalu rasa lemah-lemah. Rasa tak bersemangat. Mata aku selalu kuyu. Tak macam pandangan mata aku yang selalu. Tajam menikam. Dahtu kadang-kadang otak aku macam kosong sangat. Bukan terlalu lapang, tetapi tak mampu nak fikir apa2. Tepu. Sepatutnya aku dapat berfikir dengan baik dan dapat mengupas sesuatu isu ataupun menganalisis sesuatu perkara dengan baik. Namun aku yang sekarang ni seolah-olah seorang bayi yang melihat sesuatu perkara tapi tak memahaminya dan tak mampu nak berikan pandangan ataupun buah fikiran. Itu simptom-simptom yang dikategorikan sebagai ‘tidak mengganggu orang lain’.  Ada juga tabiat aku yang sekarang ni yang boleh dikatakan ‘mampu memporak perandakan orang lain’. Antaranya aku selalu marah-marah. Asal tersilap sket, aku marah. Asal tersilap banyak je, lagi aku marah. Asal takde silap ape-ape pun, aku dok cari jalan nak marah atau nak cari gaduh gak. Hati tak tenang. Rasa serabut dan aku sentiasa mencari peluang untuk luahkan apa yang aku rasa dengan menggunakan teknik menjerit. Rasa macam best jer waktu menjerit tu, tapi lepas tu jadi tak best balik. Sia-sia jer kan?

aduh...sakitnya Ya Allah.....

Aku terfikir gak. Apa la pandangan kawan-kawan aku, keluarga aku dan orang ramai kat aku ek? Penyakit ni buatkan aku terabai beberapa perkara. Apa?? Aku mengabaikan keje-keje jemaah aku. Aku mengajar sambil lewa di sekolah. Aku tak dapat siapkan laporan tepat pada masanya. Aku takde rasa nak buat kertas-kertas kerja dan perancangan gerak kerja persatuan dan tanzim sekalipun keperluan dan tuntutan kepada benda tu amat mendesak. Kemampuan memimpin aku makin menurun. Ketepatan hujah ketika membentang sesuatu kepada audien dalam kuliah atau mana-mana talk menjadi amat rendah. Aku takleh nak motivasikan diri orang lain. Manakan tidak? Diri aku sendiri pun tak mampu aku nak motivasikan. Penulisan buku aku pun lama tertangguh. Pelan perkaderan dan pemantapan organisasi yang sepatutnya sudah berjalan pun tak tahu  di mana pangkal dan hujungnya. Ibadah tunggang-langgang. Doa caca-marba. Pengurusan masa dan pengurusan aulawiyat aku fail. Persepsi sahabat-sahabat kepada aku makin menjengkelkan. Hmm…entahlah…

Apa nak jadi la kat aku..? Perkara ni perlukan penyelesaian segera. Jika tidak, ia akan melarat dan akan mengakibatkan kehancuran kehidupan yang serius. Aku perlu segera. Namun setiap masalah mesti diselesaikan berdasarkan punca masalahnya. Perlu ditelusuri dari mana datangnya masalah tersebut. Perlu dinilai, apakah sebab yang membawa kepada kebengongan yang melampau dalam hidup aku ni.. Hmm…Apa sebabnya yer? Apakah aku tahu ataupun tidak puncanya ataupun kekaburan masih menyelubungi tangkai pankreas dalam dada aku? Aduh, memang betul telahan aku. Aku memang sakit. Sampai diri aku sendiri tidak tahu sama ada aku tahu ataupun tidak tahu. Aku tidak tahu di mana aku. Aku tak tahu apa jadi pada aku. Aku tak tahu apa yang aku inginkan. Aku tak tahu apa sakit aku. Aku tak tahu macamana nak ubatkannya. Aku tak tahu tanggungjawab aku. Aku tak tahu semuanya. Aku tak tahu apa-apa! Yang aku tahu, aku memang sakit!

SESUNGGUHNYA

0 Comments »

Sebenarnya hati ini cinta kepada-Mu 
Sebenarnya diri ini rindu kepada-Mu

Tapi aku tidak mengerti 
Mengapa cinta masih tak hadir 
Tapi aku tidak mengerti 
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau kukutip 
Semua permata di dasar lautan 
Sesungguhnya walau kusiram 
Dengan air hujan dari tujuh langitpun 
Namun cinta takkan hadir 
Namun rindu tak akan berbunga

Kucoba menhulurkan sebuah hadiah kepada-Mu  
Tapi mungkin isinya tidak sempurna tiada seri 
Kucuba menyiramnya agar tumbuh berbunga 
Tapi mungkin kerana airnya tidak sesegar telaga kautsar

Sesungguhnya walau kukutip 
Semua permata di dasar lautan 
Sesungguhnya walau kusiram 
Dengan air hujan dari tujuh langitpun 
Namun cinta takkan hadir 
Namun rindu tak akan berbunga 
Jika tidak mengharap rahmad-MU 
Jika tidak menagih simpati 
Pada Mu Ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih-Mu kepadaku 
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada-Mu 
Moga ku tahu syukurku adalah milik-Mu

[ Sesungguhnya (Feat. Asri Rabbani, Akhil Hayy, Mawi dan Ustaz Amaludin)



TAKUTKAN KEHILANGAN ATAUPUN KEHILANGAN, MANA YANG LEBIH SAKIT? - Bahagian 1

0 Comments »

Tidak ada satu pun kesakitan ataupun kekecewaan  mahupun kedukaan yang datang melainkan ia datang sebagai seorang guru yang akan mengajar kita tentang sabar.

Suka saya bila membaca kata-kata motivasi di atas dalam internet baru-baru ini. Semalam, sempat saya YM dengan seorang sahabiah saya. Sedang berbual seperti biasa, tiba-tiba terkeluar soalan dari mulut saya, “Mana yang lebih sakit? Perasaan takutkan kehilangan ataupun setelah berlaku kehilangan?”  dia menjawab dengan ringkas, “ Jap. Nak gi solat dulu. Lepas tu ana jawab”. Jawapan yang begitu beriman sehingga saya terkedu sendirian. “Wah..nak jawab soalan tu pun kena solat mintak petunjuk dulu! Hmm…mana la nak jumpa muslimat yang macam ni zaman sekarang ni.” Bisik hati saya sendirian. 20 minit berlalu dia memulakan bicara. “Ana dah fikir dah jawapan bagi soalan tu!” sambil ketawa saya mengusiknya, “Aik? Fikir jawapan waktu sedang semayang ke?” Dengan sedikit mencebik, dia menjawab, “Fikir bila dah habis sembahyang la ustaz.”

“Hipotesis ana, perasaan takut kehilangan tu terjadi bilamana kita takutkan kekecewaan, ataupun takutkan sesuatu yang menyebabkan kita sedih sebelum berlaku kehilangan tersebut. Manakala bila dah berlaku kehilangan, sememangnya sukar untuk kita buang rasa sakit dan sedih kerana ia membawa pergi sesuatu yang kita suka.” Saya cuba menangkap maksud yang cuba disampaikan olehnya kerana penerangan yang diberikan menggunakan laras bahasa seperti yang ahli sains selalu guna. Untuk pengetahuan korang, sahabat saya ni seorang ahli sains junior di sebuah universiti di utara tanah air. “Jadi, mana yang lebih sakit?” saya menekan soalan tadi. “kedua-duanya sakit!” balasnya pantas. Dalam hati saya berkata sendirian, “Memang la kedua-duanya sakit. Tapi yang ditanya ialah mana yang lebih sakit…” Tapi takpelah. Saya akan bertolak ansur dengannya kali ini kerana saya sedar tentang satu hakikat; memang tiada alat radas yang sesuai yang ada dalam makmalnya yang mampu untuk mengukur tahap kesakitan hati kedua-kedua situasi tu. Mungkin kerana itulah dia hanya mampu memberikan jawapan seperti tadi.

“Oo..ok! Nak tahu pandangan ana?” saya membangkitkan semangat inkuirinya. “Ye, silakan!” balasnya. Bila berlaku sesuatu kehilangan, kita memang akan berasa sakit disebabkan kedukaan dan kekecewaan tersebut. Namun cuma sekali sahaja kita sakit. Sedangkan perasaan takutkan kehilangan adalah suatu kesakitan yang kita rasa sebelum berlaku sesuatu kehilangan. Apabila kehilangan benar-benar terjadi, maka sudah semestinya kita akan berasa sakit juga. Maka sebenarnya kita berasa sakit sebanyak dua kali. Sebelum hilang dan selepas hilang. Sungguh tidak berbaloi. Jadi, dalam kedua-dua situasi di atas, maka perasaan takutkan kehilangan itulah merupakan situasi yang lebih menyakitkan. Saya berhujah dengan yakin. “Tapi, bukankah kita takkan berasa sangat sakit seandainya kita risau sejak dari awal kerana keadaan tu seolah-olah kita dah bersedia untuk menerima kehilangan tersebut?” Dia mula bermain permainan KBKKnya. Kepintaran otaknya yang agak luar biasa mengatasi muslimat-muslimat lain telah meletakkan dirinya untuk memegang jawatan penolong ketua jentera pilihanraya di kampusnya selama beberapa tahun. Tugas yang sangat berat bagi seorang muslimat!

Dengan selambanya saya menjawab, “Ya, boleh jadi begitu. Namun disebabkan dua kali kesakitan yang kita alami menjadikan situasi ‘berasa takut akan kehilangan’ itu lebih sakit berbanding ‘sesudah berlaku kehilangan baru berasa sakit’.” Dia bersetuju dengan jawapan saya. Sedangkan dia tidak tahu, sepatutnya kredit harus diberikan kepada Ustaz Pahrol Md Juoi yang telah memberikan saya jawapan tersebut melalui pembacaan tulisan di dalam blognya. Saya ketawa sendirian.

sekuat mana pun kita bertahan, kehilangan adalah pasti, kesakitan tidak terperi,
namun penawar pasti dijumpai, bila mengikut jalan ilahi, pasti hakikat akan difahami bahawa tuhan amat mengasihi..

“Seandainya ada orang yang bertanya kepada kita macamana kita hendak mengatasi rasa ketakutan sebelum berlaku kehilangan tersebut, bagaimana harus kita menjawabnya?” Wah, semakin melampau tahap KBKKnya. Soalan ni membuatkan saya tidak lagi tersenyum. Wajah serius yang terukir di wajah saya adalah disebabkan dua sebab. Pertama adalah kerana Ustaz Pahrol Md Juoi tidak memberikan ulasannya tentang soalan ini dalam blognya (ataupun yang lebih tepat ialah saya tidak membaca kesemuanya). Jadi, saya harus berfikir sendiri. Keduanya saya terfikir sama ada benar-benar ada orang bertanya kepada sahabat saya soalan tersebut ataupun memang dia sendiri yang merasakan perasaan tersebut dan ingin tahu jawapannya. Hehehe..entahlah. yang pastinya saya harus menjawab soalan tersebut.

Kita mesti kembalikan hati kita kepada rasa bertuhan! Ingatlah, di mana tempat pergantungan sebenar kita. Baru hati kita tidak berasa sakit dan takut lagi. “Ana setuju dengan kembalikan rasa bertuhan tetapi bagaimana kita nak bawa hati kita ke arah itu?” Saya menarik nafas panjang kerana situasi sekarang umpama saya seorang tentera yang terdesak untuk menentang satu batalion tentera musuh dalam game red alert command and conquer yang abang saya selalu main. Sekalipun saya sudah tahu jawapannya, saya tetap rasa tertekan dengan asakan yang diberikan oleh sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya juga berasa girang kerana asakan-asakan begini mampu menajamkan akal fikiran kita. Tiba-tiba teringat satu teknik komunikasi yang sangat saya gemari ketika memberikan sesuatu talk ataupun ceramah. Saya pun bertindak. “Hmm..ana rasa enti pun ada jawapan enti sendiri kan? Cuba enti berikan jawapan tersebut!” saya mula bermain tarik tali.

Bersambung….ke bahagian 2

PASPORT RASULULLAH SAW

0 Comments »

Nak Kenal Siapa Nabi? Siapa ibu bapanya? Kaum Kerabatnya? Para sahabat? Isteri-isteri? Rumahnya? Kisah Kehidupannya?Alatannya? binatang Kesukaannya? Dan perkara-perkara istimewa tentang nabi? Tetapi tidak mampu membaca bahan-bahan bacaan yang berat dan tidak cukup masa?

Dapatkan PASPORT RASULULLAH 
S.A.W.

Info-info menarik tentang Rasulullah, semuanya dimuatkan dalam sebuah buku bersaiz passport. Direka mirip passport Malaysia.  Ringkas dan disertakan jadual dengan penerangan yang mudah untuk difahami sekalipun budak pasti! Baik untuk ibu bapa dan anak-anak.

Cuma RM 29.90





Bagi yang ingin menjadi pengedar :
Rate pengedar :

call : iimran 013-4211157

KEJUJURAN DI HATI MENGUNDANG BERITA GEMBIRA DARI ILAHI

0 Comments »


Kejujuran itu tidak menagih kepercayaan, namun kejujuran pasti diiringi dengan keikhlasan. Keikhlasan yang terbina disamping kejujuran pasti mampu meraih kepercayaan.
~Tabir Alam~

Beberapa hari yang lepas, saya memberikan kuliah dasar bertajuk kepentingan usrah dan naqib cemerlang. Ketika pembentangan, ada sedikit ulasan saya tentang seorang naqib mesti berakhlak dengan akhlak yang baik kerana nuqaba’ ini sentiasa menjadi perhatian orang ramai terutamanya anak-anak usrahnya. Ketika sesi soal jawab, saya terkedu dengan soalan terakhir yang diberikan oleh seorang audien muslimat. “Ustaz, macamana sekiranya seorang naqib tu dia melakukan kesalahan sehingga membuatkan persepsi anak usrahnya kepadanya menurun?” agak lama saya mendiamkan diri. Mencari-cari ayat yang sesuai buat menerang hakikat yang perlu difahami.

“Sebenarnya, kesalahan itu adalah sesuatu yang disengajakan. Bila disengajakan maka ia perlu kepada nasihat dan hukuman. Berbeza dengan kesilapan. Ia adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan boleh dimaafkan. Jadi, bilamana seseorang naqib melakukan kesalahan, ini bermaksud dia telah melanggar etika akhlak dan sekaligus mengundang rasa tidak percaya anak usrah dan orang ramai kepadanya. Sebab tu saya berpesan tadi agar naqib perlu berakhlak dengan akhlak yang baik. Kerana kita takut sekiranya terjadi begini, tiada apa yang boleh diselamatkan lagi. Seumpama kisah nabi SAW diisra’kan dan dimikrajkan. Ada satu pemandangan yang dilihat oleh nabi, seekor lembu tiba-tiba terkeluar daripada lubang sebatang jarum. Dan kemudiannya, ia berusaha sedaya upaya untuk masuk kembali ke dalam lubang tersebut namun tidak berjaya. Dijelaskan oleh Jibril AS bahawa ia adalah kiasan kepada seseorang yang mengeluarkan kata-kata buruk dan tersedar dengan kesalahannya, namun dia cuba untuk memperbetulkan kembali (menarik kembali) kata-katanya namun manakan boleh?” terdiam peserta-peserta dalam majlis itu seusai saya menamatkan kata-kata saya.

"Kuatkan pergantungan hati kita kepada Allah,
maka Allah akan kurniakan kepercayaan manusia kepada kita".
Hiba hati saya melihat kerutan di dahi-dahi peserta dan itu memaksa saya meneruskan jawapan saya. “Tapi itu adalah hubungan kita dengan  manusia. Memang kita tak dapat berbuat apa-apa. Namun kita masih lagi boleh berbuat sesuatu dengan hubungan kita dengan Allah SWT. Bukankah kita perlu bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut? Selesai berjanji, kita juga perlu membuktikan perjanjian kita dengan menterjemahkan kesaksian kita itu dalam kehidupan harian kita? Ya! Bila kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat diselangi dengan keikhlasan, maka tiada sebab untuk Allah taala tidak menerima taubat kita. Bila kita berusaha memperbaiki diri, maka Allah akan kurniakan sekeping hati yang ikhlas beramal dan kuat menahan pelbagai ujian  dalam gelanggang dakwah ini. KEJUJURAN, KEKUATAN, KEIKHLASAN, dan ISTIQAMAH yang ditunjukkan oleh hati kita, pasti akan melahirkan satu KUASA untuk menarik kembali kepercayaan anak-anak usrah kita kepada kita. Percayalah! Kerana Allah SWT adalah pemilik kepada hati-hati kita. Jadi, kuatkan pergantungan hati kita kepada Allah, maka Allah akan kurniakan kepercayaan manusia kepada kita. Allahuakbar! Riang hati saya melihat sinar keceriaan yang terukir di wajah-wajah adik-adik audien ketika itu. Dalam diam hati saya berbisik mengakui uslub dakwah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, “Beri berita gembira…”. Memang ada kesannya. Wallahua’lam.

Di hamparan ini ku meminta moga taubatku diterima,
Ku akui kelemahan ini,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah,
Taubatku ini.

~Taubat Seorang Hamba – Irsyadee dan Hafiz Hamidun~

SENDIRI

0 Comments »

Tengah-tengah sibuk dok buat keje, tiba-tiba terkeluar lagu ni. Bila dengo balik lagu-lagu lama ni, rasa nak tergelak pun ada. walaupun mesejnya masih agak sama dengan zaman sekarang yang banyaknya mementingkan rasa cinta kepada manusia, namun lagu-lagu dulu ada kata-kata yang berirama merdu dengan gaya bahasa yang menawan....


Sendiri

Dinginnya di malam ini
Suasana pilu
Terkenang daku kembali
Sejarah silam


Setelah engkau pergi
Sepi hatiku
Terpadamalah api cinta
Musnah harapan



Mengapa engkau sanggup
Mengubah fikiran
Hanya kerana
Peristiwa itu



Kau hancurkan kota cinta
Yang kita bina bersama
Di masa Yang lalu



Kini aku terus tersiksa
Oleh kepalsuan cintamu
Tinggallah aku sendiri
Menanggung derita ini



Setelah engkau pergi
Tertutup hatiku
Tak mungkin bercinta lagi
Biarku sendiri

LAYAN JE LA.....ZASSS..........

1 KISAH DITEMPUHI, 6 HAKIKAT DIAKUI

0 Comments »


Hari ini, saya berpeluang pergi ke sebuah majlis walimatul urus anak kepada kawan abah dan mama saya. Pak cik A dan Mak cik T agak rapat dengan keluarga saya. Kami telah lama mengenali. Malah anak perempuannya yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini juga lahir pada tahun yang sama dan bulan yang sama dengan tarikh kelahiran saya. Saya menjangkakan plot kehidupan dan ragam manusia seperti biasa, namun saya dikejutkan dengan beberapa persoalan yang meruntun jiwa sebagai seorang muslim yang dikategorikan sebagai muslim yang AGAK faham (ustaz).
1.      Saya melihat adik perempuan kepada pengantin perempuan yang bertudung litup dalam keadaan free hair tanpa rasa segan sedangkan ibu dan bapanya saya ketahui sangat memberi penekanan soal pengamalan agama. Dari situ, saya akui hakikat, iman tak dapat diwarisi.

2.      Setiap tetamu dihadiahkan dengan beg buah tangan. Apabila dibuka, antara cenderahati yang diberikan ialah frame gambar dengan gambar si mempelai yang sama sepadan. Namun sayangnya, gambar pengantin perempuan dalam keadaan tidak bertudung. Nyatalah, iman tidak mampu dipindah milik.

3.      Daripada kedua-dua peristiwa itu, membuatkan saya terfikir, cukup sukar untuk mencari seorang wanita yang benar-benar solehah untuk dijadikan isteri. Dan saya bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang faham tentang Islam dan mengamalkannya sesuai seperti kehendak Islam. Alhamdulillah. Saya juga bersyukur kerana isteri saya dikurniakan seorang suami yang juga seorang ustaz walaupun ustaz ni tidaklah baik sangat. =) Dan itu membuatkan saya mengakui hakikat seorang lelaki yang baik, akan dikurniakan seorang wanita yang baik. Dan seorang lelaki yang jahat, akan dapat seorang wanita jahat juga.

4.      Ketika sedang makan, DJ mengumandangkan sebuah lagu. Apabila muzik permulaan diperdengarkan, tiba-tiba mama berkata, “lagu ni best ni...!” saya agak hairan. Mama saya bukan jenis ibu yang dikategorikan sebagai kaki lagu. Bila mama berkata begitu, maka pasti ada sebabnya. Saya pun hayati liriknya. Sebak... dan bila pulang, saya cari liriknya untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat.

PERMATA UNTUK ISTERI KU

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

ku bersyukur atas kurniaanMu Ya Allah..

Apa yang saya sebakkan? Bukankah itu hakikat kehidupan suami isteri akan akan sentiasa diuji? Bumi mana tak pernah ditimpa hujan? Laut mana tidak pernah bergelora? Begitulah asam garam rumah tangga. Ya, itulah hakikat. Mengemudi bahtera tanpa mengetahui hakikat kerosakan daripada ribut dan badai hanya akan menyebabkan kita tak mampu sampai ke tempat tujuan. Tetapi bukan itu yang saya sebakkan. Jiwa saya sebak kerana lagu ini mampu mengungkapkan perasaan seorang lelaki dengan begitu lembut dan menyentuh hati. Dengan kata-kata dan irama yang cantik tanpa perlu mencalarkan dan merosakkan hati mana-mana wanita. Saya yang sedikit baran ini pasti bukan mudah untuk memahami hal-hal sebegini. Namun dengan lagu itu, saya akui hakikat kejayaan berdakwah dengan lisan ataupun kata-kata yang baik.

5.      Kembali kepada persoalan lelaki yang baik dan wanita yang baik. Mencari mereka-mereka ini seumpama mencari jarum dalam timbunan kain. Kadang-kadang terjumpa yang di luar nampak baik, namun di dalam penuh dengan kedengkian dan sifat-sifat yang tercela. Kadang-kadang datang kepada kita yang kurang cantik fizikalnya dari sudut adat dan kita sementah-mentah menolaknya sedangkan di dalamnya terisi dengan iman yang kukuh. Yang mana cahaya matanya sahaja seumpama matahari yang mampu menerangi kesuraman hidup kita. Alangkah sayangnya! Hanya Jauhari yang mengenal manikam. Teknik untuk mengenali manikam itu yang perlu kita miliki. Itulah hakikat yang perlu kita fahami.


6.      Apatah lagi dalam situasi sekarang, wanita jauh lebih banyak berbanding lelaki. Dalam statistik 2 tahun lepas, nisbah sudah mencapai 1:44 !! Bagaimana tahun 2011? Kalau begitu, bagaimana dengan nasib wanita-wanita yang baik? Sekalipun ada lelaki yang baik, semuanya telah dimiliki. Yang tinggal semuanya menghuni pusat serenti. Apakah nasib wanita-wanita ini? Benar, jodoh ketentuan di tangan tuhan. Namun apakah tiada daya kita untuk membantu? Ada...

ASALKAN KITA BERANI MENCIPTA LANGKAH, MENGUNGKAP SUARA, MENYELAMATKAN WANITA-WANITA INI, TIADA YANG MUSTAHIL. KERANA KITA MELAKSANAKAN APA YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK SEKALIPUN DINAFIKAN HAKNYA OLEH SELURUH MASYARAKAT! ALLAHUAKBAR! ALLAH MAHA BESAR. HAKIKAT YANG KEENAM.

Aku takut...

, , , 0 Comments »


PERHATIAN ! : Sajak ini adalah olahan perasaan yang penulis cuba selami. Perasaan seorang yang dihinakan Allah dan RasulNya. Perasaan seseorang yang takutkan jawatan dan kedudukannya dirampas oleh orang lain. 



 Sebuah sajak yang di nukilkan berdasarkan kisah benar. Keadilan dipandang enteng. Pasti kerana mengikut hawa nafsu. Maka akhirnya dengki dapat mengusai hati. Maka tindakan bodohlah yang akan meruntuhkan segalanya.

AKU TAKUT

Aku takut,
Masa depanku yang semakin kelam,
Pasti tiada lagi nyawa yang ingin memujaku,
Pasti tiada lagi jiwa yang akan memandikanku dengan siraman pujian,
Dan pasti tiada juga insan yang sudi mengikutiku seumpama lembu yang dicucuk hidung,
Kerana dia yang aku takuti.

Takut,
Benar-benar aku takut,
Biarpun dia cuma kuli dan aku tuan yang ada kedudukan,
Biarpun dia miskin dan aku memiliki kekayaan dari perut bumi,
Biarpun gayanya yang biasa berbanding aku yang seumpama YB,
Dia tetap menonjol dengan karismatik yang memukau para peminatnya,
Dan aku...terus takut.

Aduh...takut,
Tak pernah hilang,
Sekalipun aku memfitnahnya dengan warkah pembohongan yang ku edar kepada manusia,
Walaupun aku calarkan kredibilitinya dengan mempergunakan AGAMA di hadapan manusia,
Setelah aku porak perandakan para pengikutnya dan buatkan semua manusia tidak mempercayainya,
Dan aku bina doktrin yang mengkhayalkan dalam fikiran seluruh manusia,
Namun,
Perasaan ketakutan itu tak pernah hilang,
Aduh...aku tetap takut.

Apa yang perlu kulakukan lagi?
Bagaimana untuk aku hilangkan ketakutan ini?
Mampukah aku melihat dirinya semakin disanjung,
Biarpun selautan fitnah aku curahkan?
Tegakah hatiku membiarkan kedudukannya terus menaik,
Sekalipun ku pijak-pijak maruahnya?
Ahh..aku tak mampu menghilangkan kedengkian ini.
Biarpun aku menutup telingaku dengan kapas dari kayangan sekalipun,
Aku tetap mendengar hatiku berkata,
Aku takut.

Pasti!
Aku akan curahkan setiap titis darah dari dalam badanku agar dapat aku minum ketika meraikan kemenanganku nanti,
Aku akan gunakan seluruh cakerawala untuk melawannya agar dia akan tersepit kesepian di hujung dunia,
Dan aku akan kerahkan seluruh batalion yang kumiliki untuk menjatuhkannya supaya dia tidak akan mengancam kedudukanku lagi,
Kerana,
Aku takut,
Takutkan apa?
AKU TAKUT DIA AKAN MEMENANGI PEMILIHAN NANTI,
AKU TAKUT DIA AKAN DIPUJA DAN AKU TIDAK BERKUASA LAGI,
Aku takut dan akan terus takut dan akan selamanya takut,
Kerana,

Aku benar-benar adalah seorang Penakut.