1 KISAH DITEMPUHI, 6 HAKIKAT DIAKUI

0 Comments »


Hari ini, saya berpeluang pergi ke sebuah majlis walimatul urus anak kepada kawan abah dan mama saya. Pak cik A dan Mak cik T agak rapat dengan keluarga saya. Kami telah lama mengenali. Malah anak perempuannya yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini juga lahir pada tahun yang sama dan bulan yang sama dengan tarikh kelahiran saya. Saya menjangkakan plot kehidupan dan ragam manusia seperti biasa, namun saya dikejutkan dengan beberapa persoalan yang meruntun jiwa sebagai seorang muslim yang dikategorikan sebagai muslim yang AGAK faham (ustaz).
1.      Saya melihat adik perempuan kepada pengantin perempuan yang bertudung litup dalam keadaan free hair tanpa rasa segan sedangkan ibu dan bapanya saya ketahui sangat memberi penekanan soal pengamalan agama. Dari situ, saya akui hakikat, iman tak dapat diwarisi.

2.      Setiap tetamu dihadiahkan dengan beg buah tangan. Apabila dibuka, antara cenderahati yang diberikan ialah frame gambar dengan gambar si mempelai yang sama sepadan. Namun sayangnya, gambar pengantin perempuan dalam keadaan tidak bertudung. Nyatalah, iman tidak mampu dipindah milik.

3.      Daripada kedua-dua peristiwa itu, membuatkan saya terfikir, cukup sukar untuk mencari seorang wanita yang benar-benar solehah untuk dijadikan isteri. Dan saya bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang faham tentang Islam dan mengamalkannya sesuai seperti kehendak Islam. Alhamdulillah. Saya juga bersyukur kerana isteri saya dikurniakan seorang suami yang juga seorang ustaz walaupun ustaz ni tidaklah baik sangat. =) Dan itu membuatkan saya mengakui hakikat seorang lelaki yang baik, akan dikurniakan seorang wanita yang baik. Dan seorang lelaki yang jahat, akan dapat seorang wanita jahat juga.

4.      Ketika sedang makan, DJ mengumandangkan sebuah lagu. Apabila muzik permulaan diperdengarkan, tiba-tiba mama berkata, “lagu ni best ni...!” saya agak hairan. Mama saya bukan jenis ibu yang dikategorikan sebagai kaki lagu. Bila mama berkata begitu, maka pasti ada sebabnya. Saya pun hayati liriknya. Sebak... dan bila pulang, saya cari liriknya untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat.

PERMATA UNTUK ISTERI KU

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

ku bersyukur atas kurniaanMu Ya Allah..

Apa yang saya sebakkan? Bukankah itu hakikat kehidupan suami isteri akan akan sentiasa diuji? Bumi mana tak pernah ditimpa hujan? Laut mana tidak pernah bergelora? Begitulah asam garam rumah tangga. Ya, itulah hakikat. Mengemudi bahtera tanpa mengetahui hakikat kerosakan daripada ribut dan badai hanya akan menyebabkan kita tak mampu sampai ke tempat tujuan. Tetapi bukan itu yang saya sebakkan. Jiwa saya sebak kerana lagu ini mampu mengungkapkan perasaan seorang lelaki dengan begitu lembut dan menyentuh hati. Dengan kata-kata dan irama yang cantik tanpa perlu mencalarkan dan merosakkan hati mana-mana wanita. Saya yang sedikit baran ini pasti bukan mudah untuk memahami hal-hal sebegini. Namun dengan lagu itu, saya akui hakikat kejayaan berdakwah dengan lisan ataupun kata-kata yang baik.

5.      Kembali kepada persoalan lelaki yang baik dan wanita yang baik. Mencari mereka-mereka ini seumpama mencari jarum dalam timbunan kain. Kadang-kadang terjumpa yang di luar nampak baik, namun di dalam penuh dengan kedengkian dan sifat-sifat yang tercela. Kadang-kadang datang kepada kita yang kurang cantik fizikalnya dari sudut adat dan kita sementah-mentah menolaknya sedangkan di dalamnya terisi dengan iman yang kukuh. Yang mana cahaya matanya sahaja seumpama matahari yang mampu menerangi kesuraman hidup kita. Alangkah sayangnya! Hanya Jauhari yang mengenal manikam. Teknik untuk mengenali manikam itu yang perlu kita miliki. Itulah hakikat yang perlu kita fahami.


6.      Apatah lagi dalam situasi sekarang, wanita jauh lebih banyak berbanding lelaki. Dalam statistik 2 tahun lepas, nisbah sudah mencapai 1:44 !! Bagaimana tahun 2011? Kalau begitu, bagaimana dengan nasib wanita-wanita yang baik? Sekalipun ada lelaki yang baik, semuanya telah dimiliki. Yang tinggal semuanya menghuni pusat serenti. Apakah nasib wanita-wanita ini? Benar, jodoh ketentuan di tangan tuhan. Namun apakah tiada daya kita untuk membantu? Ada...

ASALKAN KITA BERANI MENCIPTA LANGKAH, MENGUNGKAP SUARA, MENYELAMATKAN WANITA-WANITA INI, TIADA YANG MUSTAHIL. KERANA KITA MELAKSANAKAN APA YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK SEKALIPUN DINAFIKAN HAKNYA OLEH SELURUH MASYARAKAT! ALLAHUAKBAR! ALLAH MAHA BESAR. HAKIKAT YANG KEENAM.

0 Responses to "1 KISAH DITEMPUHI, 6 HAKIKAT DIAKUI"

Catat Ulasan

Catat Ulasan