Aku takut...

, , , 0 Comments »


PERHATIAN ! : Sajak ini adalah olahan perasaan yang penulis cuba selami. Perasaan seorang yang dihinakan Allah dan RasulNya. Perasaan seseorang yang takutkan jawatan dan kedudukannya dirampas oleh orang lain. 



 Sebuah sajak yang di nukilkan berdasarkan kisah benar. Keadilan dipandang enteng. Pasti kerana mengikut hawa nafsu. Maka akhirnya dengki dapat mengusai hati. Maka tindakan bodohlah yang akan meruntuhkan segalanya.

AKU TAKUT

Aku takut,
Masa depanku yang semakin kelam,
Pasti tiada lagi nyawa yang ingin memujaku,
Pasti tiada lagi jiwa yang akan memandikanku dengan siraman pujian,
Dan pasti tiada juga insan yang sudi mengikutiku seumpama lembu yang dicucuk hidung,
Kerana dia yang aku takuti.

Takut,
Benar-benar aku takut,
Biarpun dia cuma kuli dan aku tuan yang ada kedudukan,
Biarpun dia miskin dan aku memiliki kekayaan dari perut bumi,
Biarpun gayanya yang biasa berbanding aku yang seumpama YB,
Dia tetap menonjol dengan karismatik yang memukau para peminatnya,
Dan aku...terus takut.

Aduh...takut,
Tak pernah hilang,
Sekalipun aku memfitnahnya dengan warkah pembohongan yang ku edar kepada manusia,
Walaupun aku calarkan kredibilitinya dengan mempergunakan AGAMA di hadapan manusia,
Setelah aku porak perandakan para pengikutnya dan buatkan semua manusia tidak mempercayainya,
Dan aku bina doktrin yang mengkhayalkan dalam fikiran seluruh manusia,
Namun,
Perasaan ketakutan itu tak pernah hilang,
Aduh...aku tetap takut.

Apa yang perlu kulakukan lagi?
Bagaimana untuk aku hilangkan ketakutan ini?
Mampukah aku melihat dirinya semakin disanjung,
Biarpun selautan fitnah aku curahkan?
Tegakah hatiku membiarkan kedudukannya terus menaik,
Sekalipun ku pijak-pijak maruahnya?
Ahh..aku tak mampu menghilangkan kedengkian ini.
Biarpun aku menutup telingaku dengan kapas dari kayangan sekalipun,
Aku tetap mendengar hatiku berkata,
Aku takut.

Pasti!
Aku akan curahkan setiap titis darah dari dalam badanku agar dapat aku minum ketika meraikan kemenanganku nanti,
Aku akan gunakan seluruh cakerawala untuk melawannya agar dia akan tersepit kesepian di hujung dunia,
Dan aku akan kerahkan seluruh batalion yang kumiliki untuk menjatuhkannya supaya dia tidak akan mengancam kedudukanku lagi,
Kerana,
Aku takut,
Takutkan apa?
AKU TAKUT DIA AKAN MEMENANGI PEMILIHAN NANTI,
AKU TAKUT DIA AKAN DIPUJA DAN AKU TIDAK BERKUASA LAGI,
Aku takut dan akan terus takut dan akan selamanya takut,
Kerana,

Aku benar-benar adalah seorang Penakut.


0 Responses to "Aku takut..."

Catat Ulasan

Catat Ulasan