DENGKI : MEMBAKAR UKHUWAH MEMUTUSKAN MAHABBAH

, , 0 Comments »
5 Halangan
Dalam Kitab Bahtera Penyelamat Karangan Fathi Yakan, ada disebut 5 cabaran dan halangan yang akan dihadapi oleh para da’ie. 5 halangan tersebut ialah Mukmin yang dengki, Munafiq yang benci, Kafir yang memerangi, Syaitan yang menghasut dan Nafsu yang menguasai. Kali ini, saya cuma ingin berkongsi dengan sahabat/sahabiah tentang halangan yang pertama iaitu MUKMIN YANG DENGKI.

Hakikat Dengki
Pernah  organisasi kita diganggu-gugat oleh orang Islam yang dengki. Kadang-kadang mukmin yang dengki itu adalah orang Islam yang dekat dengan kita. Berjuang dengan kita. Memahami konsep perjuangan dengan kita. Namun disebabkan terpengaruh dengan sifat dengki yang bersarang dalam hati. Maka semuanya ditolak ketepi demi memenuhi kehendak nafsu sendiri.

Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam: 
Pertama:
menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.
Kedua:
menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.
Ketiga:
tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.
kalau dah dengki, inilah jadinya.....
Buruknya Ujub
Perihal dengki tersebut wujud daripada rasa ujub dalam diri. Ujub adalah merasa diri hebat dan tidak suka melihat orang lain mendahuluinya.
Dr. Yusuf Qardhawi berkata dalam kitabnya As-Sohwatul Islamiyyah Baina Ikhtilaful Masyru’ Wa Tafriqul Mazmum (Kebangkitan Islam: Antara Percanggahan Yang Dibenarkan Oleh Syara’ Dan Perpecahan Yang Tercela) : “Orang yang merasa ujub ini seumpama dia tinggal dalam satu rumah yang penuh dengan cermin. Kemana-mana dia pergi pun hanya akan nampak dirinya. Dia akan rasa dirinya sahaja yang hebat. Dia hanya menerima pendapat yang dikeluarkan oleh dirinya dan merasa hebat dengan pendapatnya kerana dia berasa akalnya adalah tidak tertanding oleh orang lain. Dia tidak memberi peluang kepada dirinya untuk mendengar dan menerima pendapat orang lain.”

Kehidupan Yang Berpura-Pura
Orang yang sebegini adalah orang yang kesunyian dan kesepian. Kehidupannya walaupun dilihat seumpama dia disanjung dan dimuliakan oleh orang ramai, namun hakikatnya dia tinggal berseorangan. Kemuliaan yang diterimanya adalah lahir daripada rasa terpaksa atas kedudukan ataupun kekayaan yang dimilikinya. Bukan sebenar-benarnya penghormatan. Walaupun orang ramai ketawa dan seolah-olah bergembira bila berada bersamanya, hakikatnya mereka rasa sakit kerana terpaksa berpura-pura. Kerana manusia ini, memang tidak mampu untuk menipu perasaan dalam diri sendiri.

Apa Yang Diinginkannya?
Sedikit sebanyak kemarahan tetap wujud dan terbuku di dada bilamana manusia-manusia sebegini mengambil peluang untuk merosakkan organisasi Islam dan juga Amal Islami yang dijalankan atas nama ‘KEADILAN’ namun realitinya adalah untuk ‘KEPENTINGAN’ dan ‘KEHENDAK’ diri sendiri. Semuanya demi memuaskan nafsu dengki yang membarah dalam hati mereka. Sekiranya perkara ini dibiarkan, nescaya ia akan mampu untuk menghancurkan organisasi. Pernah saya bertanya kepada seorang ustaz, “Apa sebab orang mukmin yang dengki ni jadi begini?” Jawab ustaz tersebut, “Mereka-mereka ini jadi sebegini kerana wujudnya rasa inginkan penghormatan ataupun inginkan jawatan dalam diri mereka. Secara ringkasnya ia adalah perasaan Gila Pangkat!”

Sejarah Telah Lama Mengakuinya
Namun, sebenarnya mukmin yang dengki ini telah lama wujud. Sedari zaman Nabi Adam AS dahulu telah wujud.  Lihatlah bagaimana Habil dibunuh semata-mata kerana dengki. Malah, pada zaman Rasulullah SAW juga perasaan ini telah wujud sehingga Allah menurunkan ayat ini :
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah akan sebahagian kurnia-Nya. (An-Nisa:32).
Jadi, ia adalah sunnatullah yang kita perlu akui kewujudannya namun tidak sekali-kali kita redha dengan pelakuannya.

Kita Hanya Perlu Melihat?
Tidak! Jadi apa tugas kita dalam membanteras mukmin yang dengki ini? Sebenarnya ia adalah persoalan hati yang kita tidak dapat melihatnya secara jelas. Cuma kita dapat mengagaknya dengan ilmu dan ilham yang diberikan oleh Allah. Jadi bertindaklah sepertimana seorang sahabat Nabi, ketika seorang mukmin yang dengki berkata kepadanya begitu dan begini, maka dijawabnya : “Sekiranya apa yang engkau katakan itu benar, aku berharap agar Allah mengampunkan aku, dan sekiranya apa yang engkau katakan itu tidak benar, maka aku berharap agar Allah ampunkan kau’. Wallahu’alam.

3.47 p.m 18/1/2011
Tabir Alam

BERBEKAM: SUNNAH YANG PELIK

, , 0 Comments »
Dari Abu Hurairah radhiallaahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berbekam pada hari ke-17, 19 dan 21 (tahun Hijriyah), maka ia akan sembuh dari segala macam penyakit.” (Shahih Sunan Abu Dawud, II/732, karya Imam al-Albani)

Muqaddimah
Daripada hadis di atas maka dapat diketahui maka berbekam adalah satu sunnah yang disampaikan daripada Rasulullah SAW. Ketika seorang wanita meracun Baginda dengan daging kambing, maka Rasulullah menggunakan teknik berbekam pada tempat-tempat  tertentu di badan untuk menghalang pengaliran racun ke seluruh badan. Berbekam juga akan mengeluarkan darah kotor yang menjadi punca penyakit. Namun pada hari ini, berbekam menjadi satu fenomena yang agak pelik di kalangan masyarakat melayu. Ini mungkin kerana beberapa sebab : 1) Tidak biasa dengan perubatan cara Islam. 2) Tidak didedahkan dengan amalan-amalan sunnah ataupun lebih tepat, kurangnya pengetahuan tentang Islam. 3) Takut darah ataupun tak berani! Itulah antara sebab-sebab yang menyebabkan rawatan tersebut menjadi pelik.

Berbekam hari ini
Alhamdulillah, pada hari ini saya telah berjaya melakukan rawatan berbekam buat kali ke 3. Sudah hampir setahun saya tak berbekam. Rasa lebih ‘ringan’ dan kuat. Pakej RM 50 yang termasuk di dalamnya berbekam dan berurut serta check penyakit melalui tapak tangan amat murah. Diuruskan oleh Pusat Perubatan Jawi. Ala...yang HPA tu. Ubatan-ubatannya banyak diambil daripada senarai ubatan HPA. Ia bermula dengan check penyakit melalui tapak tangan. (penyakit saya yang diberitahu oleh pengamal perubatan tu tak boleh diberitahu.hee..) Kemudian disambung dengan berurut. Rasa lebih cergas . Dan akhirnya di sambung dengan berbekam. Saya berbekam di tujuh tempat. 1 di kepala, 2 di bahu, 2 di pinggang dan 2 di betis. Di setiap tempat akan dicucuk jarum sebanyak sepuluh kali. Setiap tempat akan diulang sebanyak 3 kali rawatan sebegitu. Jadi jumlah cucukan jarum yang diterima pada hari ini ialah 210 kali. Waaa...Best kan?

 sumber : wavewsa.blogspot.com
Sejarah
Saya mula berbekam lebih kurang 2 tahun setengah dahulu bilamana saya sering sakit kepala yang teramat sangat (migrain) sehingga muntah-muntah. Setelah bertanyakan pendapat doktor dan para ustaz, maka mereka mencadangkan supaya saya berbekam. Berbekam kali pertama, alhamdulillah, migrain saya yang kebiasaannya jadi setiap minggu sudah tidak berlaku. 6 bulan saya bebas dari kesakitan migrain dan kemudian ia kembali semula sehingga memaksa saya melakukan rawatan bekam kali kedua.

Cabaran Pengamal Perubatan
Saya tertarik dengan cerita pengubat (ustaz) tu tentang pengalaman berbekam. Katanya “ Berbekam ni letih. Tak ramai orang yang mampu buat. Ada ramai yang menjadi pengamal tetapi lepas 2,3 bulan, tak sanggup nak teruskan. Jadi mereka pun berhenti. Kenapa berhenti? Kerana setiap malam orang datang ke rumah ketuk pintu rumah.” Saya ingatkan orang yang datang ke rumah tu bermaksud untuk dapatkan rawatan, rupa-rupanya.. Ustaz tu sambung, “Kalau yang datang tu orang nak dapatkan rawatan takper, tapi bila kita bukak pintu, takde sape-sape pun...” Berderau darah saya mendengar cerita tu. Sedikit sebanyak cerita tu telah menguburkan semangat saya untuk mempelajari sedikit tentang ilmu perubatan Islam ni. =) Wallahu’alam.

“Di akhir zaman, orang-orang yang memegang sunnah-ku seumpama memegang bara api” – hadis

CANTIK ATAU TIDAK?

0 Comments »
Muqaddimah
“Innallaha Jamilun Yuhibbu Jamal”
Sesungguhnya Allah Taala itu cantik dan menyukai kecantikan.

Adakah sama Allah itu cantik dengan manusia itu cantik?
Takabur itu sifat Allah, kita tak boleh berkongsi sifat tersebut kerana hanya Allah yang layak bersifat dengan sifat tersebut. Tetapi, Allah juga menyukai kecantikan. Apakah kita juga tak boleh menyukai kecantikan?


Hari ini dalam sesi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di sekolah, ada seorang motivator dari JPN yang datang ke sekolah dan mengambil kesempatan untuk menyampaikan sedikit motivasi untuk guru-guru di sekolah ana. Tetapi sesi motivasi 10 minit tersebut terlalu pendek dan ana tak tahu apa tujuan dan matlamat yang ingin disampaikan dalam ucapannya. Di akhirnya, disudahi ucapannya dengan kata-kata : “Jika kita sedang bercinta, maka kekasih kitalah wanita yang paling cantik di dunia. Tetapi bila kita dah kahwin, semua wanita di dunia ini cantik melainkan isteri kita!” Hahaha…saya dan guru-guru lain ketawa kelucuan. Dan dalam hati saya terfikir, “ini motivasi nikah kahwin ker?” Terpanggil untuk menjawab isu tersebut, saya menulis sedikit bicara ringkas ini untuk kita menilai kembali sejauh mana kita faham tentang erti kecantikan.

Cantik Atau Tak Cantik?

Selalu kita dinilai ataupun menilai seseorang lelaki atau wanita itu sama ada cantik (hensem, lawa, kacak, manis, tampan) ataupun tidak. Apabila dinilai, kita akan tertekan sekiranya pandangan yang diberikan tidak seperti yang dimahukan. Tetapi apabila kita menilai, wah…melampau-lampau! Seorang sahabat pernah berkata kepada saya : “Adik perempuan aku sering dimarahi oleh pak cik dan mak cik aku sebab dia tak pandai dressing, imej tak elok, comot, tembam dan macam-macam lagi. Antara kata-kata yang sedikit melampau, kata mereka adik aku takkan ada lelaki yang sukakannya kalau masih macamni. Lelaki sukakan YANG CANTIK!” Sepengetahuan saya, adiknya sangat baik dan menutup aurat dengan baik dan menurut syarak. 

Kata saya, “Ini jawapan saya : Yang Pertama – Wanita juga sukakan kecantikan. Sukakan yang hensem, kacak dan lain-lain. Bukan lelaki jer. Lelaki dan perempuan sama sahaja dari sudut tersebut. Itu adalah fitrah. Yang kedua- Pandangan tentang kecantikan bagi seseorang sangat sukar untuk diukur. Cantik tu sesuatu yang abstrak. Kalau seribu manusia memujinya kerana kecantikannya, pasti ada seorang yang mengatakan dia tak cantik. Kalau sejuta manusia menghinanya kerana kehodohannya, pasti ada satu jiwa yang tulus yang akan mengakui kecantikannya. Ini kerana pandangan setiap orang berbeza. Pandangan yang berbeza itu lahir daripada latar belakang asuhan yang berbeza.” Kesimpulan yang dapat diambil sepertimana kata-kata Pahrol Md Juoi dalam ‘Tentang Cinta’ : “Semua wanita cantik. Tidak ada yang hodoh. Cuma kecantikannya yang berbeza!”

cantik bagai bulan ke matahari?
Asal Penilaian Kecantikan

Kalau manusia yang sukakan ayam sabung, maka bila melihat kepada ayam sabung, dia akan tertarik. Dia pasti sukakan acara menyabung ayam. Akan sukakan bulu ayamnya yang cantik. Minatkan Kegagahannya. Ayam tersebut mestilah yang bertaji panjang dan tajam. Sekiranya ayam seperti itu ada di hadapannya, alamatnya rumah tak berberas, nasi tak tertanaklah jawapannya lantaran sibuk dengan urusan ayam tersebut. Tetapi ada juga manusia yang sukakan RFC ataupun KFC. Kalau dapat makan, wah…best! Itu contoh 2 perkara yang berbeza tetapi sama. Kedua-duanya sukakan ayam. Tetapi satunya halal (makan RFC ataupun KFC) dan satu lagi haram (menyabung ataupun menyeksa ayam). Kalau yang suka RFC, bila tengok ayam RFC, wah, tak tertahan nafsu di hati. Tetapi bila melihat ayam sabung, tak sedar pun ayam sabung tu ada di hadapannya. 

Begitulah kiasan tentang asal penilaian kecantikan. Kalau seseorang tu sukakan wanita atau lelaki yang menutup aurat ataupun yang berimej dengan imej Islam, bila melihat wanita yang tidak menutup aurat, akan ada sedikit perasaan tidak selesa dan tidak suka. Sekalipun wanita itu cantik sepertiErra Fazira.  Begitulah sebaliknya. Jadi, di situ apakah unsur yang mempengaruhi asal penilaian kecantikan? Mestilah HATI. Hati pula dikawal oleh dua unsur. IMAN dan NAFSU.Bila Hati Nafsu yang menilai, maka, kriteria kecantikannya mestilah pada fizikal yang menawan dan corak penampilan yang terbuka dan tidak menutup aurat. Itulah wanita atau lelaki yang cantik pada pandangannya. Tetapi sekiranya Hati Iman yang menilai, mestilah perempuan dan lelaki yang soleh dan solehah yang cantik dan menawan pada pandangannya. Cantik pada fizikal cuma untuk melepasi ujian mata, tetapi cantik pada sikap, sifat serta akhlak diperlukan untuk melepasi ujian hati. 

Jadi, cantik yang sebenarnya, bukanlah pada kecantikan luaran semata-mata namun kecantikan yang sebenar adalah bila kita mempunyai nilai dalaman yang tinggi. Sekiranya kita melihat daripada pandangan hati yang dikawal oleh Iman, kita takkan tersasar dalam membuat penilaian kecantikan. Itulah Asal Penilaian Kecantikan yang terpuji!

Boleh ke Upgrade Kecantikan?

Mestilah boleh. Kalau kecantikan luaran kita upgrade dengan facial treatment yang menghabiskan puluhan ribu ringgit, maka kecantikan dalaman juga boleh diupgrade. Malah tanpa sesen modal pun! Upgrade sikap kita. Upgrade cara perbualan tutur kata kita. Upgrade cara berfikir kita. Upgrade ilmu kita. Upgrade kemahiran tambahan kita. Itu semua akan menambahkan kecantikan dalaman kita. Malah, kalau kena gayanya, kecantikan dalaman yang dibina dengan kukuh, akan mampu menandingi orang lain yang cuma mempunyai kecantikan luaran. Inilah realiti bagi manusia-manusia yang beriman dan berakhlak soleh. Kecenderungan mereka adalah pada kecantikan yang lahir dari hati melebihi kecantikan yang lahir daripada fizikal luaran.Upgrade diri kita, dengan sendirinya kecantikan dalaman tersebut akan lahir dan menyinar dengan sinar yang terang seumpama matahari yang terang-benderang di tengah-tengah siang yang cerah. Buktinya telah ada! Lihatlah di sekeliling kita wahai sahabat-shabat KRL!

Blog KRL

MUSLIMAH CORNER DALAM PERJUANGAN

, 0 Comments »
Alhamdulillahillazi Arsala Rasulahu Mukhtaru Fina, Zadanal Hubbu Hanina, Ji’tana Bilkhairi Dina, Ya Khitamal Mursalina, Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Amma Ba’du.

Muqaddimah
Sewaktu Adam AS disajikan dengan segala nikmat syurga yang tidak terbayang di hadapan mata kita, hatinya masih lagi tidak keruan. Bila Hawa diciptakan sebagai teman kehidupannya, barulah dirasakan ketenangan dalam hatinya. Itulah bukti kata-kata Allah dalam surah Ar-Rum ayat ke 21 :

”Dan daripada kekuasaannya, maka diciptakan untuk kamu daripada diri kamu sendiri isteri supaya kamu berasa tenang dan tenteram dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan rahmat. Inilah bukti bagi kaum yang mahu berfikir.”

Tuntutan
Sekalipun dalam kenikmatan diri lelaki perlu ditemani dengan ketenteraman jiwa seorang wanita, apatah lagi dalam kekalutan dan kepayahan sebuah perjuangan yang lebih memeritkan dan penuh dengan ujian. Walaupun gelanggang perjuangan wanita tidaklah seluas lelaki, namun tugasan yang dipikul tidak mampu digalas ganti oleh mana-mana pun insan yang bergelar lelaki. Bukankah ketika pertama kali Rasullullah SAW menerima taklifan wahyu, baginda diselubungi rasa gementar dan takut. Ketika itu, Saidatina Khadijah RA yang menenangkan Rasulullah dan merupakan penerima panji perjuangan Islam yang pertama setelah panji itu diserahkan kepada Baginda Nabi daripada Jibril AS. Beliau juga yang menginfaqkan semua hartanya untuk perjuangan nabi dan dia sendiri mewakafkan dirinya untuk perjuangan tersebut. Yang paling hebat adalah kata-katanya yang dituturkan ketika sakit sebelum wafat :

“sekiranya tulang-tulang aku ini bermanfaat untuk Islam setelah kematianku, maka kau ambillah dan gunakannya untuk meneruskan perjuangan yang mulia ini”.- Saidatina Khadijah RA

Strategi
Subhanallah…! Inilah The First Lady / Woman yang kita cari. Bukan wanita yang hanya pandai berkata-kata tentang perjuangan, namun tidak mahu menyinsing lengan bersama-sama bersusah payah dalam perjuangan. Malah, diri dan kata-katanya juga tidak mencerminkan peribadi dan kemuliaan seorang muslimah. Tak perlulah semua muslimah pandai berkata-kata di hadapan ummah, perlu ada yang diam, tetapi pandai menyusun atur program dan rajin berkerja. Tak perlulah semuanya turun ke lapangan, namun perlu ada yang pandai menaikkan semangat, mencetuskan idea baru dan membina generasi. Pokoknya, di manapun kita berada, kita tak pernah tergelincir daripada landasan perjuangan islam. Itu yang terbaik!


Taujihat

Akhirnya, kukuhkan jiwamu wahai muslimah seperti jiwa Saidatina Khadijah RA. Belajarlah dan tuntutlah ilmu agar jadi pusat pengetahuan seperti Aisyah RA. Dan bersabarlah menghadapi kesukaran perjuangan seperti Siti Hajar isteri Ibrahim AS yang tidak pernah merungut walaupun berjuang berseorangan. Biarlah kita menjejakkan kaki kita dahulu ke syurga Allah sebelum pasangan kita. Kita akan menyambutnya dengan senyuman. Senyuman seorang mujahidah harapan ummah! InsyaAllah.

11.24 pm
11/11/2010
Tabir Alam

Now Open!

0 Comments »
Alhamdulillah
Kita Mulakan Sembang Ilmu Kita Di Beranda Ilmu
Dengan Nama Yang Maha Kuasa
Bismillahirrahmanirrahim