KEJUJURAN DI HATI MENGUNDANG BERITA GEMBIRA DARI ILAHI

0 Comments »


Kejujuran itu tidak menagih kepercayaan, namun kejujuran pasti diiringi dengan keikhlasan. Keikhlasan yang terbina disamping kejujuran pasti mampu meraih kepercayaan.
~Tabir Alam~

Beberapa hari yang lepas, saya memberikan kuliah dasar bertajuk kepentingan usrah dan naqib cemerlang. Ketika pembentangan, ada sedikit ulasan saya tentang seorang naqib mesti berakhlak dengan akhlak yang baik kerana nuqaba’ ini sentiasa menjadi perhatian orang ramai terutamanya anak-anak usrahnya. Ketika sesi soal jawab, saya terkedu dengan soalan terakhir yang diberikan oleh seorang audien muslimat. “Ustaz, macamana sekiranya seorang naqib tu dia melakukan kesalahan sehingga membuatkan persepsi anak usrahnya kepadanya menurun?” agak lama saya mendiamkan diri. Mencari-cari ayat yang sesuai buat menerang hakikat yang perlu difahami.

“Sebenarnya, kesalahan itu adalah sesuatu yang disengajakan. Bila disengajakan maka ia perlu kepada nasihat dan hukuman. Berbeza dengan kesilapan. Ia adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan boleh dimaafkan. Jadi, bilamana seseorang naqib melakukan kesalahan, ini bermaksud dia telah melanggar etika akhlak dan sekaligus mengundang rasa tidak percaya anak usrah dan orang ramai kepadanya. Sebab tu saya berpesan tadi agar naqib perlu berakhlak dengan akhlak yang baik. Kerana kita takut sekiranya terjadi begini, tiada apa yang boleh diselamatkan lagi. Seumpama kisah nabi SAW diisra’kan dan dimikrajkan. Ada satu pemandangan yang dilihat oleh nabi, seekor lembu tiba-tiba terkeluar daripada lubang sebatang jarum. Dan kemudiannya, ia berusaha sedaya upaya untuk masuk kembali ke dalam lubang tersebut namun tidak berjaya. Dijelaskan oleh Jibril AS bahawa ia adalah kiasan kepada seseorang yang mengeluarkan kata-kata buruk dan tersedar dengan kesalahannya, namun dia cuba untuk memperbetulkan kembali (menarik kembali) kata-katanya namun manakan boleh?” terdiam peserta-peserta dalam majlis itu seusai saya menamatkan kata-kata saya.

"Kuatkan pergantungan hati kita kepada Allah,
maka Allah akan kurniakan kepercayaan manusia kepada kita".
Hiba hati saya melihat kerutan di dahi-dahi peserta dan itu memaksa saya meneruskan jawapan saya. “Tapi itu adalah hubungan kita dengan  manusia. Memang kita tak dapat berbuat apa-apa. Namun kita masih lagi boleh berbuat sesuatu dengan hubungan kita dengan Allah SWT. Bukankah kita perlu bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut? Selesai berjanji, kita juga perlu membuktikan perjanjian kita dengan menterjemahkan kesaksian kita itu dalam kehidupan harian kita? Ya! Bila kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat diselangi dengan keikhlasan, maka tiada sebab untuk Allah taala tidak menerima taubat kita. Bila kita berusaha memperbaiki diri, maka Allah akan kurniakan sekeping hati yang ikhlas beramal dan kuat menahan pelbagai ujian  dalam gelanggang dakwah ini. KEJUJURAN, KEKUATAN, KEIKHLASAN, dan ISTIQAMAH yang ditunjukkan oleh hati kita, pasti akan melahirkan satu KUASA untuk menarik kembali kepercayaan anak-anak usrah kita kepada kita. Percayalah! Kerana Allah SWT adalah pemilik kepada hati-hati kita. Jadi, kuatkan pergantungan hati kita kepada Allah, maka Allah akan kurniakan kepercayaan manusia kepada kita. Allahuakbar! Riang hati saya melihat sinar keceriaan yang terukir di wajah-wajah adik-adik audien ketika itu. Dalam diam hati saya berbisik mengakui uslub dakwah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, “Beri berita gembira…”. Memang ada kesannya. Wallahua’lam.

Di hamparan ini ku meminta moga taubatku diterima,
Ku akui kelemahan ini,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah,
Taubatku ini.

~Taubat Seorang Hamba – Irsyadee dan Hafiz Hamidun~

0 Responses to "KEJUJURAN DI HATI MENGUNDANG BERITA GEMBIRA DARI ILAHI"

Catat Ulasan

Catat Ulasan