3 Comments »

bermonolog sendirian bermuhasabah diri mengenali jiwa...
kerana sesiapa yang kenal dirinya, dia akan kenal tuhannya...

MONOLOG JIWA MENGUSIR HIBA

Dalam garis malam yang suram, jiwaku membungkam, hatiku menderam memikirkan dosa dan noda hitam yang bersarang di hati dalam diam. Hatiku resah, perasaanku gelisah, meminggirkan rupa pasrah kepada Allah yang sepatutnya berada dalam diri sesiapa jua yang memiliki iman yang indah.

Mungkinkah kerana hatiku bersalut kemungkaran? Mungkin juga kerana pancainderaku yang selalu melupakan rasa kemanisan suatu ibadah kerana terpengaruh dengan godaan dunia di depan mata? Lantaran itu, iman pun menjauh, ketenangan pun sirna. Yang tinggal hanyalah kesedihan dan kehibaan yang merobek hati mengalirkan selautan kekosongan. Lantaran hati melupakan dahan Ilahi tempat berpaut setiap insani yang menyedari erti sebuah kehidupan hakiki. Kehidupan syurgawi tempat yang selayaknya bagi abid, alim, mujahid yang cintakan Ilahi. Apakah aku mampu melontarkan diriku masuk ke dalam golongan tersebut? Ahh…cukup sukar!

Kenapa terlalu sukar? Apakah kerana Allah terlalu kejam dengan menimpakan kesukaran yang membuatku tersungkur? Tidak, mustahil sama sekali, kerana nukilan bijak pandai yang lahir dari kalam Tuhan Yang Maha Mengetahui memberitahu kita bahawa cubaan dan dugaan tuhan sesuai dengan kemampuan hambanya. Sebagai wadah buat tuhan menunjukkan sifat ArRahman dan ArRahimNya. Jadi, kenapa terlalu sukar untukku mengusir keceramukan di hati ini?

Jasadku diam dan fikiranku berputar laju melihat paparan ilusi masa hadapan, tetapi kenapa paparan tersebut kelam, suram dan hitam? Aku cuba memahami dan merungkai maksud kegelapan tersebut, namun yang aku temui cuma keterbatasan keupayaan seorang manusia. Hatiku bermuhasabah sendirian, jiwaku keliru, fikiranku bercelaru.

Dalam diam aku berbisik sendirian. Hatiku memberitahu, jiwaku merayu. Biar sendu dan pilu datang bersilih ganti. Namun pasti akan kuberi ruang dan peluang untuk redha dan pasrah menjengah kamar kalbuku. Agar terubat kehibaan dengan senyuman keredhaan. Apalah ertinya hidup dengan tangisan, jika dengan tangisan itu, cuma melebarkan jalanku ke gerbang neraka? Biarlah tangisan itu adalah tangisan yang menitiskan puin-puin kenikmatan dari syurga. Agar segala kesakitan dan kekusutan itu hilang dan berlalu begitu sahaja diganti oleh kemanisan yang begitu terasa. Walaupun jalan itu susah, namun itulah mujahadah. Biar sukar, tetapi bila kejayaan itu terlakar, hatiku akan mekar seumpama bunga yang berkembang besar. Biar terbakar, namun matahari yang membahang tak pernah goyah dari paksinya. Malah sinarnya menerangi seluruh alam, menyuluh cahaya bagi jiwa-jiwa yang berdosa. Biar terbakar, namun ia takkan sekali-kali membakar semuanya. Dalam terang, ia lebih terang. Yang akan terbakar cuma hiba. Justeru, aku perlu mencuba!

Bila hati itu kenal Ilahi, ketenangan pun datang merestui, hidup pun menjadi lebih bererti. Rasa pergantungan kepada tuhan menjadi azimat buat memilih jalan menemui tuhan. Bila tuhan dikenali, tiada lagi yang diingini, melainkan sebutir benih yang akan menumbuhkan pohon yang menjulang ke langit tinggi. Akan ku panjat dan teruskan meniti, agar bertemu Zat Rabbul Izzati di atas Kursi. Pada ketika itu, bukan hanya sebelah mata enggan kupandang kehibaan itu, malah aku sanggup butakan mata jasad dan mata hatiku daripada melihatnya. Biarlah pandanganku terarah dan mengarah kepada Allah. Tuan yang menciptakan Akhirat dan Dunia. Tuan yang menciptakan Syaitan dan Manusia. Tuan yang menciptakan Perasaan dan Jiwa. Tuan yang menciptakan Gembira dan HIBA. Tundukku tafakur kehinaan dan berserah. Mendambakan sebuah hati yang tiada resah gelisah. Ku mohon kepada mu Ya Allah. Engkaulah Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tuhan yang selayaknya mengusir hiba dari jiwa…     

Duhai hati dan jiwa
Usah kau tangisi hiba yang membuat kau kecewa
Usah kau rindu resah yang membuat kau berduka
Tapi kenanglah sewaktu kau dan iman berkongsi satu rasa
Saat kau dan iman sedang bergelak ketawa
Saat kau dan iman bahagia
Tidakkah dahanmu kembali berbunga?

Subhanallah….Alhamdulillah…Allahuakbar…ASTAGHFIRULLAH….