CANTIK ATAU TIDAK?

0 Comments »
Muqaddimah
“Innallaha Jamilun Yuhibbu Jamal”
Sesungguhnya Allah Taala itu cantik dan menyukai kecantikan.

Adakah sama Allah itu cantik dengan manusia itu cantik?
Takabur itu sifat Allah, kita tak boleh berkongsi sifat tersebut kerana hanya Allah yang layak bersifat dengan sifat tersebut. Tetapi, Allah juga menyukai kecantikan. Apakah kita juga tak boleh menyukai kecantikan?


Hari ini dalam sesi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di sekolah, ada seorang motivator dari JPN yang datang ke sekolah dan mengambil kesempatan untuk menyampaikan sedikit motivasi untuk guru-guru di sekolah ana. Tetapi sesi motivasi 10 minit tersebut terlalu pendek dan ana tak tahu apa tujuan dan matlamat yang ingin disampaikan dalam ucapannya. Di akhirnya, disudahi ucapannya dengan kata-kata : “Jika kita sedang bercinta, maka kekasih kitalah wanita yang paling cantik di dunia. Tetapi bila kita dah kahwin, semua wanita di dunia ini cantik melainkan isteri kita!” Hahaha…saya dan guru-guru lain ketawa kelucuan. Dan dalam hati saya terfikir, “ini motivasi nikah kahwin ker?” Terpanggil untuk menjawab isu tersebut, saya menulis sedikit bicara ringkas ini untuk kita menilai kembali sejauh mana kita faham tentang erti kecantikan.

Cantik Atau Tak Cantik?

Selalu kita dinilai ataupun menilai seseorang lelaki atau wanita itu sama ada cantik (hensem, lawa, kacak, manis, tampan) ataupun tidak. Apabila dinilai, kita akan tertekan sekiranya pandangan yang diberikan tidak seperti yang dimahukan. Tetapi apabila kita menilai, wah…melampau-lampau! Seorang sahabat pernah berkata kepada saya : “Adik perempuan aku sering dimarahi oleh pak cik dan mak cik aku sebab dia tak pandai dressing, imej tak elok, comot, tembam dan macam-macam lagi. Antara kata-kata yang sedikit melampau, kata mereka adik aku takkan ada lelaki yang sukakannya kalau masih macamni. Lelaki sukakan YANG CANTIK!” Sepengetahuan saya, adiknya sangat baik dan menutup aurat dengan baik dan menurut syarak. 

Kata saya, “Ini jawapan saya : Yang Pertama – Wanita juga sukakan kecantikan. Sukakan yang hensem, kacak dan lain-lain. Bukan lelaki jer. Lelaki dan perempuan sama sahaja dari sudut tersebut. Itu adalah fitrah. Yang kedua- Pandangan tentang kecantikan bagi seseorang sangat sukar untuk diukur. Cantik tu sesuatu yang abstrak. Kalau seribu manusia memujinya kerana kecantikannya, pasti ada seorang yang mengatakan dia tak cantik. Kalau sejuta manusia menghinanya kerana kehodohannya, pasti ada satu jiwa yang tulus yang akan mengakui kecantikannya. Ini kerana pandangan setiap orang berbeza. Pandangan yang berbeza itu lahir daripada latar belakang asuhan yang berbeza.” Kesimpulan yang dapat diambil sepertimana kata-kata Pahrol Md Juoi dalam ‘Tentang Cinta’ : “Semua wanita cantik. Tidak ada yang hodoh. Cuma kecantikannya yang berbeza!”

cantik bagai bulan ke matahari?
Asal Penilaian Kecantikan

Kalau manusia yang sukakan ayam sabung, maka bila melihat kepada ayam sabung, dia akan tertarik. Dia pasti sukakan acara menyabung ayam. Akan sukakan bulu ayamnya yang cantik. Minatkan Kegagahannya. Ayam tersebut mestilah yang bertaji panjang dan tajam. Sekiranya ayam seperti itu ada di hadapannya, alamatnya rumah tak berberas, nasi tak tertanaklah jawapannya lantaran sibuk dengan urusan ayam tersebut. Tetapi ada juga manusia yang sukakan RFC ataupun KFC. Kalau dapat makan, wah…best! Itu contoh 2 perkara yang berbeza tetapi sama. Kedua-duanya sukakan ayam. Tetapi satunya halal (makan RFC ataupun KFC) dan satu lagi haram (menyabung ataupun menyeksa ayam). Kalau yang suka RFC, bila tengok ayam RFC, wah, tak tertahan nafsu di hati. Tetapi bila melihat ayam sabung, tak sedar pun ayam sabung tu ada di hadapannya. 

Begitulah kiasan tentang asal penilaian kecantikan. Kalau seseorang tu sukakan wanita atau lelaki yang menutup aurat ataupun yang berimej dengan imej Islam, bila melihat wanita yang tidak menutup aurat, akan ada sedikit perasaan tidak selesa dan tidak suka. Sekalipun wanita itu cantik sepertiErra Fazira.  Begitulah sebaliknya. Jadi, di situ apakah unsur yang mempengaruhi asal penilaian kecantikan? Mestilah HATI. Hati pula dikawal oleh dua unsur. IMAN dan NAFSU.Bila Hati Nafsu yang menilai, maka, kriteria kecantikannya mestilah pada fizikal yang menawan dan corak penampilan yang terbuka dan tidak menutup aurat. Itulah wanita atau lelaki yang cantik pada pandangannya. Tetapi sekiranya Hati Iman yang menilai, mestilah perempuan dan lelaki yang soleh dan solehah yang cantik dan menawan pada pandangannya. Cantik pada fizikal cuma untuk melepasi ujian mata, tetapi cantik pada sikap, sifat serta akhlak diperlukan untuk melepasi ujian hati. 

Jadi, cantik yang sebenarnya, bukanlah pada kecantikan luaran semata-mata namun kecantikan yang sebenar adalah bila kita mempunyai nilai dalaman yang tinggi. Sekiranya kita melihat daripada pandangan hati yang dikawal oleh Iman, kita takkan tersasar dalam membuat penilaian kecantikan. Itulah Asal Penilaian Kecantikan yang terpuji!

Boleh ke Upgrade Kecantikan?

Mestilah boleh. Kalau kecantikan luaran kita upgrade dengan facial treatment yang menghabiskan puluhan ribu ringgit, maka kecantikan dalaman juga boleh diupgrade. Malah tanpa sesen modal pun! Upgrade sikap kita. Upgrade cara perbualan tutur kata kita. Upgrade cara berfikir kita. Upgrade ilmu kita. Upgrade kemahiran tambahan kita. Itu semua akan menambahkan kecantikan dalaman kita. Malah, kalau kena gayanya, kecantikan dalaman yang dibina dengan kukuh, akan mampu menandingi orang lain yang cuma mempunyai kecantikan luaran. Inilah realiti bagi manusia-manusia yang beriman dan berakhlak soleh. Kecenderungan mereka adalah pada kecantikan yang lahir dari hati melebihi kecantikan yang lahir daripada fizikal luaran.Upgrade diri kita, dengan sendirinya kecantikan dalaman tersebut akan lahir dan menyinar dengan sinar yang terang seumpama matahari yang terang-benderang di tengah-tengah siang yang cerah. Buktinya telah ada! Lihatlah di sekeliling kita wahai sahabat-shabat KRL!

Blog KRL

0 Responses to "CANTIK ATAU TIDAK?"

Catat Ulasan

Catat Ulasan