MUSLIMAH CORNER DALAM PERJUANGAN

, 0 Comments »
Alhamdulillahillazi Arsala Rasulahu Mukhtaru Fina, Zadanal Hubbu Hanina, Ji’tana Bilkhairi Dina, Ya Khitamal Mursalina, Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Amma Ba’du.

Muqaddimah
Sewaktu Adam AS disajikan dengan segala nikmat syurga yang tidak terbayang di hadapan mata kita, hatinya masih lagi tidak keruan. Bila Hawa diciptakan sebagai teman kehidupannya, barulah dirasakan ketenangan dalam hatinya. Itulah bukti kata-kata Allah dalam surah Ar-Rum ayat ke 21 :

”Dan daripada kekuasaannya, maka diciptakan untuk kamu daripada diri kamu sendiri isteri supaya kamu berasa tenang dan tenteram dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan rahmat. Inilah bukti bagi kaum yang mahu berfikir.”

Tuntutan
Sekalipun dalam kenikmatan diri lelaki perlu ditemani dengan ketenteraman jiwa seorang wanita, apatah lagi dalam kekalutan dan kepayahan sebuah perjuangan yang lebih memeritkan dan penuh dengan ujian. Walaupun gelanggang perjuangan wanita tidaklah seluas lelaki, namun tugasan yang dipikul tidak mampu digalas ganti oleh mana-mana pun insan yang bergelar lelaki. Bukankah ketika pertama kali Rasullullah SAW menerima taklifan wahyu, baginda diselubungi rasa gementar dan takut. Ketika itu, Saidatina Khadijah RA yang menenangkan Rasulullah dan merupakan penerima panji perjuangan Islam yang pertama setelah panji itu diserahkan kepada Baginda Nabi daripada Jibril AS. Beliau juga yang menginfaqkan semua hartanya untuk perjuangan nabi dan dia sendiri mewakafkan dirinya untuk perjuangan tersebut. Yang paling hebat adalah kata-katanya yang dituturkan ketika sakit sebelum wafat :

“sekiranya tulang-tulang aku ini bermanfaat untuk Islam setelah kematianku, maka kau ambillah dan gunakannya untuk meneruskan perjuangan yang mulia ini”.- Saidatina Khadijah RA

Strategi
Subhanallah…! Inilah The First Lady / Woman yang kita cari. Bukan wanita yang hanya pandai berkata-kata tentang perjuangan, namun tidak mahu menyinsing lengan bersama-sama bersusah payah dalam perjuangan. Malah, diri dan kata-katanya juga tidak mencerminkan peribadi dan kemuliaan seorang muslimah. Tak perlulah semua muslimah pandai berkata-kata di hadapan ummah, perlu ada yang diam, tetapi pandai menyusun atur program dan rajin berkerja. Tak perlulah semuanya turun ke lapangan, namun perlu ada yang pandai menaikkan semangat, mencetuskan idea baru dan membina generasi. Pokoknya, di manapun kita berada, kita tak pernah tergelincir daripada landasan perjuangan islam. Itu yang terbaik!


Taujihat

Akhirnya, kukuhkan jiwamu wahai muslimah seperti jiwa Saidatina Khadijah RA. Belajarlah dan tuntutlah ilmu agar jadi pusat pengetahuan seperti Aisyah RA. Dan bersabarlah menghadapi kesukaran perjuangan seperti Siti Hajar isteri Ibrahim AS yang tidak pernah merungut walaupun berjuang berseorangan. Biarlah kita menjejakkan kaki kita dahulu ke syurga Allah sebelum pasangan kita. Kita akan menyambutnya dengan senyuman. Senyuman seorang mujahidah harapan ummah! InsyaAllah.

11.24 pm
11/11/2010
Tabir Alam

0 Responses to "MUSLIMAH CORNER DALAM PERJUANGAN"

Catat Ulasan

Catat Ulasan