DENGKI : MEMBAKAR UKHUWAH MEMUTUSKAN MAHABBAH

, , 0 Comments »
5 Halangan
Dalam Kitab Bahtera Penyelamat Karangan Fathi Yakan, ada disebut 5 cabaran dan halangan yang akan dihadapi oleh para da’ie. 5 halangan tersebut ialah Mukmin yang dengki, Munafiq yang benci, Kafir yang memerangi, Syaitan yang menghasut dan Nafsu yang menguasai. Kali ini, saya cuma ingin berkongsi dengan sahabat/sahabiah tentang halangan yang pertama iaitu MUKMIN YANG DENGKI.

Hakikat Dengki
Pernah  organisasi kita diganggu-gugat oleh orang Islam yang dengki. Kadang-kadang mukmin yang dengki itu adalah orang Islam yang dekat dengan kita. Berjuang dengan kita. Memahami konsep perjuangan dengan kita. Namun disebabkan terpengaruh dengan sifat dengki yang bersarang dalam hati. Maka semuanya ditolak ketepi demi memenuhi kehendak nafsu sendiri.

Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam: 
Pertama:
menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.
Kedua:
menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.
Ketiga:
tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.
kalau dah dengki, inilah jadinya.....
Buruknya Ujub
Perihal dengki tersebut wujud daripada rasa ujub dalam diri. Ujub adalah merasa diri hebat dan tidak suka melihat orang lain mendahuluinya.
Dr. Yusuf Qardhawi berkata dalam kitabnya As-Sohwatul Islamiyyah Baina Ikhtilaful Masyru’ Wa Tafriqul Mazmum (Kebangkitan Islam: Antara Percanggahan Yang Dibenarkan Oleh Syara’ Dan Perpecahan Yang Tercela) : “Orang yang merasa ujub ini seumpama dia tinggal dalam satu rumah yang penuh dengan cermin. Kemana-mana dia pergi pun hanya akan nampak dirinya. Dia akan rasa dirinya sahaja yang hebat. Dia hanya menerima pendapat yang dikeluarkan oleh dirinya dan merasa hebat dengan pendapatnya kerana dia berasa akalnya adalah tidak tertanding oleh orang lain. Dia tidak memberi peluang kepada dirinya untuk mendengar dan menerima pendapat orang lain.”

Kehidupan Yang Berpura-Pura
Orang yang sebegini adalah orang yang kesunyian dan kesepian. Kehidupannya walaupun dilihat seumpama dia disanjung dan dimuliakan oleh orang ramai, namun hakikatnya dia tinggal berseorangan. Kemuliaan yang diterimanya adalah lahir daripada rasa terpaksa atas kedudukan ataupun kekayaan yang dimilikinya. Bukan sebenar-benarnya penghormatan. Walaupun orang ramai ketawa dan seolah-olah bergembira bila berada bersamanya, hakikatnya mereka rasa sakit kerana terpaksa berpura-pura. Kerana manusia ini, memang tidak mampu untuk menipu perasaan dalam diri sendiri.

Apa Yang Diinginkannya?
Sedikit sebanyak kemarahan tetap wujud dan terbuku di dada bilamana manusia-manusia sebegini mengambil peluang untuk merosakkan organisasi Islam dan juga Amal Islami yang dijalankan atas nama ‘KEADILAN’ namun realitinya adalah untuk ‘KEPENTINGAN’ dan ‘KEHENDAK’ diri sendiri. Semuanya demi memuaskan nafsu dengki yang membarah dalam hati mereka. Sekiranya perkara ini dibiarkan, nescaya ia akan mampu untuk menghancurkan organisasi. Pernah saya bertanya kepada seorang ustaz, “Apa sebab orang mukmin yang dengki ni jadi begini?” Jawab ustaz tersebut, “Mereka-mereka ini jadi sebegini kerana wujudnya rasa inginkan penghormatan ataupun inginkan jawatan dalam diri mereka. Secara ringkasnya ia adalah perasaan Gila Pangkat!”

Sejarah Telah Lama Mengakuinya
Namun, sebenarnya mukmin yang dengki ini telah lama wujud. Sedari zaman Nabi Adam AS dahulu telah wujud.  Lihatlah bagaimana Habil dibunuh semata-mata kerana dengki. Malah, pada zaman Rasulullah SAW juga perasaan ini telah wujud sehingga Allah menurunkan ayat ini :
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah akan sebahagian kurnia-Nya. (An-Nisa:32).
Jadi, ia adalah sunnatullah yang kita perlu akui kewujudannya namun tidak sekali-kali kita redha dengan pelakuannya.

Kita Hanya Perlu Melihat?
Tidak! Jadi apa tugas kita dalam membanteras mukmin yang dengki ini? Sebenarnya ia adalah persoalan hati yang kita tidak dapat melihatnya secara jelas. Cuma kita dapat mengagaknya dengan ilmu dan ilham yang diberikan oleh Allah. Jadi bertindaklah sepertimana seorang sahabat Nabi, ketika seorang mukmin yang dengki berkata kepadanya begitu dan begini, maka dijawabnya : “Sekiranya apa yang engkau katakan itu benar, aku berharap agar Allah mengampunkan aku, dan sekiranya apa yang engkau katakan itu tidak benar, maka aku berharap agar Allah ampunkan kau’. Wallahu’alam.

3.47 p.m 18/1/2011
Tabir Alam

0 Responses to "DENGKI : MEMBAKAR UKHUWAH MEMUTUSKAN MAHABBAH"

Catat Ulasan

Catat Ulasan